1816 Eropah Tanpa Musim Panas
TAHUKAH anda, pada tahun 1816 pernah muncul sebagai tahun tanpa musim panas. Penduduk di beberapa daerah di Amerika Utara dan Eropah mengalami kesan teruk akibat peristiwa tersebut.
Musim dingin yang berlangsung dalam tempoh lama menyebabkan tahun tersebut mengalami cuaca paling muram. Suhu yang tidak menentu mengakibatkan hasil ekonomi penduduk yang ketika itu bergantung kepada pertanian terjejas. Kesejukan yang melanda untuk tempoh lama menyukarkan proses bercucuk tanam dijalankan.
Bekalan sedia ada tidak dapat menampung isi keluarga untuk waktu panjang. Tambahan lagi, situasi yang melanda tahun tersebut berlaku secara tiba-tiba dan tidak diketahui punca. Kesannya, harga makanan melonjak naik berikutan sumber tanaman yang semakin berkurangan. Penduduk semakin tertekan sehingga mencetuskan rusuhan di tempat-tempat awam. Malah, kes jenayah seperti rompakan juga semakin berleluasa.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, sebahagian penghuni daerah-daerah terlibat berpindah ke lokasi lain. Walau bagaimanapun, usaha itu dikatakan tidak membuahkan hasil apabila destinasi yang dituju turut mengalami keadaan sama. Lebih teruk lagi, ada di antara mereka yang menganggur untuk tempoh panjang kerana tiada pekerjaan. Akibatnya, pendapatan semakin merosot sehingga sukar untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Keadaan bertambah buruk apabila beberapa jenis penyakit menjangkiti sebahagian golongan dewasa dan kanak-kanak. Taun atau kolera antara wabak yang muncul pada masa itu. Menyedihkan, kekurangan wang menyebabkan pesakit tidak mampu untuk mendapatkan rawatan.
Menurut sumber Branch Collective, tiada siapa mengetahui punca situasi buruk itu berlaku. Hanya pada tahun 1960 an, pakar mula mendedahkan sebab terjadinya peristiwa tahun tanpa musim panas itu.
Krisis iklim yang melanda tahun 1816 dikatakan berpunca daripada letusan Gunung Tambora, Pulau Sumbawa, Indonesia sekitar April 1815.
Kemuncak kejadian pada 10 April disifatkan sebagai tragedi letusan gunung berapi terbesar dalam sejarah. Letupan pada waktu itu dikatakan dapat didengar sejauh 1,600 batu. Ledakan tersebut telah memuntahkan lava, debu serta kepulan asap tebal sekali gus memusnahkan penempatan di kawasan berhampiran. Pada masa sama, membebaskan berbilion tan gas berbahaya ke udara seperti sulfur dioksida, karbon dioksida dan karbon monoksida.
Seramai 71,000 mangsa dilaporkan terkorban dengan 12,000 mayat maut secara langsung dalam insiden terbabit. Ada juga yang mendakwa jumlah kematian sebenarnya jauh lebih tinggi.
Setahun selepas kejadian itu, bermulanya episod gangguan ke atas sistem cuaca dunia yang mana ia dipercayai kesan daripada letusan Gunung Tambora. Pembebasan sulfur yang terlampau banyak menyebabkan iklim global menyimpang daripada keadaan asal. Difahamkan, keadaan tersebut berlarutan selama tempoh tiga tahun. Pernah kejatuhan suhu purata mencecah sehingga 3 ° F dan 6 ° F.
Musim panas yang tiba tidak seperti biasa. Keadaannya lebih dingin berbanding panas pada waktu yang sepatutnya. Pola hujan tidak berada dalam keadaan normal apabila kerap turun dengan lebat. Banyak ternakan milik penduduk mati sepanjang tempoh tiga tahun di New Zealand. Kemiskinan, kebuluran dan kematian menjadikan golongan petani berpindah ke wilayah lain seperti kawasan barat tengah Amerika Syarikat.
Di Ireland dan Great Britain, tanaman kentang dan gandum musnah kerana tidak mendapat cahaya matahari yang cukup. Kesan yang sama turut dirasai penduduk di China dan Taiwan. Tanaman padi yang diusahakan mereka terjejas akibat suhu rendah yang luar biasa. Lebih membimbangkan, apabila cahaya matahari yang sepatutnya muncul berganti dengan salji.
Selepas beberapa tahun mengalami fasa hitam, akhirnya perubahan cuaca mula kembali normal. Letusan Gunung Tambora nyata memberi kesan yang teruk kepada sebahagian besar penduduk global termasuk aspek sosial, ekonomi dan politik. Apa pun, sehingga kini, 1816 kekal sebagai tahun tanpa musim panas dalam lipatan sejarah iklim dunia.
Tiada ulasan: